SEJARAH PEMBINAAN
Pusat Islam ITM Shah Alam telah selamat dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia YB Datuk Amar Dr. Sulaiman Hj. Daud pada 11 Mac 1993 dalam satu upacara yang turut disaksikan oleh wakil-wakil dari semua cawangan ITM. Bangunan Pusat Islam ini telah menelan belanja sebanyak RM5.7 juta di mana sebahagian daripada jumlah itu adalah hasil sumbangan masyarakat kampus. Ianya tersergam indah di atas bukit dengan keluasan lantai 10,096 meter persegi dan boleh menampung seramai 7,000 orang jemaah pada satu masa.

Seramai 5,000 orang dapat memenuhi ruang tertutup yang dihampar permaidani manakala 2,000 lagi di ruang terbuka yang dikemasi dengan jubin yang berkilauan. Manakala di kiri dan kanan dewan solat terdapat satu tingkat mezanin untuk kaum wanita dan juga terdapat kemudahan lain seperti bilik wudhuk, ruang pejabat, perpustakaan, dewan syarahan, bilik mayat dan ruang-ruang untuk kemudahan umum.

Menurut Dato’ Pengarah ITM Dato’Dr. Mansor Salleh, pusat ini telah siap dibina sepenuhnya pada bulan Jun 1992 lagi tetapi diserah milik kepada ITM hanya pada 25 Ogos 1992. Pembinaan awal pusat ini telah bermula pada Disember 1988 oleh salah sebuah syarikat kontraktor tetapi hanya dapat menyiapkan setakat 77.6% sahaja hingga Julai 1991 walaupun telah diberi lanjutan masa selama 65 minggu.

Sehubungan itu, pada bulan November 1991 sebuah lagi syarikat kontraktor yang lain telah dilantik untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan dan dalam tempoh 30 minggu bangunan Pusat Islam telah siap dibina sepenuhnya. Semasa merasmikan bangunan Pusat Islam ini, YB Datuk Amar Dr. Sulaiman Daud berkata, ITM mestilah memanfaatkan pusat ini sesuai dengan matlamat penubuhannya.
MAJLIS PERASMIAN PUSAT ISLAM